Friday, February 10, 2012

Jodoh Imam Muda Asyraf usaha rakan sebilik ♥

KREDIBILITINYA sebagai seorang pemimpin nyata terserlah dan tidak salah percaturan apabila namanya dijulang sebagai juara program realiti dakwah Imam Muda, yang pertama.

Bukan sahaja seorang anak muda yang murah dengan senyuman, tetapi Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, 27, juga merupakan individu yang mudah didekati.

Tidak dinafikan, anak kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang ini punya aura selaku seorang pendakwah.

Berpeluang menemuinya baru-baru ini bersama isteri tersayang, Nur Husna Yusoff, 24, ternyata Asyraf seorang yang santai dan penuh humor ketika berbicara.

Setelah hampir sembilan bulan menyandang gelaran Imam Muda, ramai sudah sedia maklum akan personaliti graduan Sarjana Muda Usuluddin dan Fiqh dari Universiti Malaya (UM) ini.

Untuk itu, apa kata kita singkap pula kisah rumahtangganya yang didirikan pada 14 Februari 2010.

Mengikut cerita pasangan muda ini, baik Asyraf mahupun Husna, kedua-duanya tidak pernah mengenali antara satu sama lain walaupun belajar dalam universiti yang sama.

Malah menurut Asyraf, mereka telah dipertemukan oleh rakan baik mereka yang ingin menyatukan mereka.

"Kiranya kami merupakan pasangan match make yang mana adik kepada kawan saya, berkawan baik dengan isteri saya ketika itu.

"Memandangkan sebelum ini saya pernah bergurau mengatakan tidak berkawan dengan sesiapa dan tidak menyangka pula kawan serumah saya menganggap ia satu perkara yang serius.

"Dalam hal ini, kawan serumah sebenarnya yang beria-ria hendak mempertemukan kami sedangkan kami ketika itu memang tidak mengenali antara satu sama lain,'' ujarnya sambil tersenyum.

Tambahnya lagi, selepas pertama kali dipertemukan, masing-masing tidak bertegur sapa. Ia berakhir setakat itu sahaja tanpa sebarang pesanan apatah lagi hendak bertukar-tukar nombor telefon.

Selepas beberapa bulan masing-masing mendiamkan diri, akhirnya Asyraf mengambil keputusan untuk memulakan salam perkenalan.

Bagaimanapun Asyraf memberitahu bahawa sistem pesanan ringkas (SMS) yang pertama dihantar kepada Husna tanpa disengajakan tetapi ia tidak mendapat respons.

Apabila ditanya bila SMSnya berbalas, dengan jujur Asyraf memberitahu dia tidak mengingatinya tetapi selepas SMSnya yang pertama tidak berjawab dia mencuba pula mengirim e-mel.

Tanpa disedari bila bermulanya detik perkenalan, akhirnya sedar tak sedar sudah setahun persahabatan mereka terjalin.

"Jujur saya katakan, kami tidak menyedari bila persahabatan antara kami bermula dan dalam sedar tak sedar sudah setahun.

"Sepanjang persahabatan, kami tidak pernah keluar berdua melainkan ditemani rakan-rakan. Husna sememangnya seorang yang amat pemalu,'' ujarnya lagi.

Berbicara lanjut mengenai perkenalannya, Asyraf terus terang memberitahu bahawa sebelum berkawan dengan Husna, dia pernah berkawan dengan perempuan lain tetapi tidak lebih daripada seorang sahabat.

Berbalik kepada ceritanya bersama Husna, segala-galanya berlaku tanpa dirancang. akhirnya tanpa sebarang persediaan dan persiapan akhirnya mereka telah disatukan atas persetujuan bersama.

Walaupun perancangan awal mereka memilih penghujung Jun 2010 untuk disatukan, tetapi apa yang berlaku ada hikmahnya.

''Jika ikut perancangan, kami cadang antara Jun hingga Disember untuk tarikh perkahwinan kami, tetapi segala-galanya telah ditentukan-Nya.

''Alhamdulillah, kami disatukan pada Februari dan saya rasa sekiranya belum, mungkin sehingga hari ini kami masih lagi belum bergelar suami isteri,'' katanya lagi.

Sementara itu, Husna yang ditemui memang merupakan seorang yang pemalu.

Selain tutur katanya yang lemah lembut, Husna juga dilihat seorang isteri yang begitu manja malah mereka sememangnya pasangan yang serasi.




1 comment:

  1. Saya dah x percaya blh dapat jodoh melalui internet dan sms. Dulu ada jugak sy cuba buat mcm ustaz Asyraf ni buat.......tapi>>>>

    Dia buat laporan polis hanya sbb sy hantar email dan mesej fb kat dia. Sejak dari itu sy dah tak yakin nak cari jodoh melalui internet, handphone, sms dan semua alat perhubungan yang ada. Bahkan sy takut nak hantar email, fb dgn semua perempuan. Sedih. Sampai skrg sy belum temui seorang wanita. Apa boleh sy buat lagi?

    ReplyDelete

~Honey to the Moon~ @ KT

Honeymoon ni more to jalan2 cari makan sbnr...